Teori psikoanalisa telah dipelopori oleh Sigmund Freud yang membentuk teorinya daripada pemerhatian beliau terhadap pesakit-pesakit mental. Teori ini mementingkan pengalaman awal kanak-kanak dan motivasi-motivasi tidak sedar dalam mempengaruhi tingkah laku.
Freud membuat andaian bahawa antara penentu tingkah laku dan personaliti manusia adalah desakan-desakan tidak sedar dalam diri manusia itu sendiri. Desakan-desakan ini juga dikenali sebagai tenaga-tenaga psikodinamik.
Sigmund Freud
Teorinya berasaskan sejarah hidup pesakit, maklumat-maklumat yang diperoleh dengan cara hipnosis, perkaitan bebas dan analisis mimpi, kaedah-kaedah yang menilai motivasi tidak sedar dan apa yang Freud lihat sebagai konflik antara motif motif biologi dan peraturan-peraturan masyarakat. Menurut Freud lagi, seorang kanak-kanak itu lahir dengan naluri asas yang bertindak secara tidak sedar. Naluri yang bersifat tidak rasional ini mahukan kepuasan secara serta-merta. Oleh sebab itu, bagi Freud, perkembangan manusia sebahagiannya bergantung kepada perubahan desakan naluri-naluri tersebut kepada tingkah laku rasional yang diterima oleh masyarakat.

No comments:
Post a Comment